Tuesday 11 June 2013

KESAN NEGATIF PELAKSANAAN SKIM GAJI MINIMUM

1.      Kesukaran untuk menurunkan gaji
Gaji minimum ini merupakan gaji yang dikuatkuasakan oleh undang-undang kepada pihak majikan dalam penetapan gaji para pekerja. Gaji ini sememangnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat. Hal ini kerana gaji ini telah diukur berdasarkan pendapatan garis kemiskinan. Namun, apabila skim gaji minimum ini telah dilaksanakan, berlakunya kesukaran untuk menurunkan gaji sekiranya berlaku kegawatan ekonomi. Hal ini kerana majikan terpaksa membayar pada kadar gaji yang sama dengan jumlah sebelumnya. Dengan ini akan membebankan para majikan untuk membiayai para pekerja.

2.      Membahayakan golongan yang miskin dan berpendapatan rendah
Gaji minimum ini merupakan gaji yang telah ditetapkan pada paras tertentu dan pihak majikan hanya boleh meletakkan atau memperuntukkan jumlah gaji bagi setiap pekerja melebihi paras yang ditetapkan dan tidak boleh kurang daripada itu. Pihak majikan yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang. Jadi, hasil daripada pelaksanaan skim gaji minimum ini,kos buruh ini dilihat semakin meningkat. Hal ini telah menyusahkan majikan kerana  majikan tidak dapat menampung kos buruh tersebut tetapi belum dicampurkan lagi dengan caruman KWSP yang terpaksa dibayar oleh majikan. Akibatnya, ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan. Hal ini kerana majikan terpaksa memikirkan kos bahan mentah, kos pengeluaran dan kos pemprosesan termasuklah caruman KWSP. Sebagai contoh, jika seorang pekerja dibayar RM 5,000 sebulan. Kos kepada syarikat jika dicampurkan dengan caruman KWSP (12%) , ialah RM5,600. Kos tambahan itu sangat tinggi. Jadi majikan tidak akan mampu mengaji pekerja yang ramai jadi terpaksa dikurangkan gaji pekerja baru atau menamatkan kontrak bagi pekerja sambilan. Sedangkan pekerja yang bergaji rendah tersebut amat bergantung harap dengan upah yang diberikan oleh majikan. Situasi yang dialami oleh pekerja ini memaksa mereka memperolehi pekerjaan yang baru. Hal ini amat dibimbangi terutama kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah kerana kehidupan mereka akan lebih sukar berbanding sebelumnya dan mereka terpaksa menganggur.

3.      Lambakan pekerja Asing dari Luar Negara
Apabila skim gaji minimum ini dilaksanakan, kita dapati majikan tidak mampu untuk menanggung kos buruh tempatan yang semakin tinggi tersebut. Jadi, terdapat ramai majikan yang sanggup mengambil dan menggunakan khidmat pekerja asing yang meletakkan kos buruh yang rendah sebagai pekerja di tempat kerja masing-masing bagi membolehkan majikan tidak mengeluarkan lebih banyak modal untuk melakukan perniagaan tersebut berbanding pekerja tempatan yang meletakkan kos yang tinggi sehingga membebankan majikan. Tambahan pula, majikan tidak perlu membayar bayaran Levi terhadap pekerja sebaliknya gaji pekerja asing akan dipotong sedikit demi sedikit pada bulan berikutnya. Hal ini sememangnya memudahkan majikan dalam pengendalian organisasi tetapi ianya menyebabkan rakyat asing semakin bercambah di Malaysia. Dengan ini sedikit sebanyak memberikan keuntungan kepada pekerja asing mengikut garis panduan Perkara 23 Pengistiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang menyatakan bahawa setiap orang tanpa sebarang pembezaan, adalah berhak kepada pengajian yang sama bagi kerja yang sama. Semua orang juga berhak kepada saraan yang adil dan berfaedah yang dapat memastikan diri dan keluarganya mendapat suatu kehidupan yang wajar dan manusiawi. Memang tidak dapat menolak kemungkinan bahawa aliran tunai kita yang mengalir adalah dengan adanya pekerja asing dalam pasaran kerja namun nasib rakyat Malaysia masih sama.

4.      Kesan terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana
Menyentuh dakwaan gaji minimum akan memberikan impak negatif kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),Fiscal Policy Institute di Amerika Syarikat telah menjalankan satu kajian pada tahun 2006 untuk membandingkan kesan gaji minimum terhadap pertumbuhan PKS dan juga tahap gaji antara negeri-negeri di Amerika Syarikat. Hasil kajian sepanjang tempoh tahun 1998 hingga 2003 menunjukkan prestasi negeri dengan pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi adalah lebih baik :
·         5.4% pertumbuhan bilangan perniagaan kecil (kurang daripada 50 pekerja) adalah lebih tinggi daripada negeri yang meletakkan gaji minimum kepada para pekerjanya iaitu 4.2%.
·         6.7% pertumbuhan peluang pekerjaan dalam sektor perniagaan kecil adalah lebih tinggi berbanding 5.3% bagi negeri yang mengamalkan skim gaji minimum ini.
·         24.5% pertumbuhan jumlah gaji tahunan juga lebih tinggi berbanding bagi negeri dengan gaji minimum iaitu 21.2%.
Menurut Setiausaha Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), T Shanmugam memberitahu Berita Harian bahawa sebelum ini terdapat 4,200 daripada 800,000 syarikat yang telah memohon penangguhan sementara bagi melaksanakan skim gaji minimum ini disebabkan oleh faktor kewangan. Hal ini membuktikan terdapat syarikat yang masih meragui keadilan dan kesukaran untuk melaksanakan skim gaji minimum ini kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu diselesaikan terutama dari segi perancangan kewangan dan operasi perniagaan syarikat itu sendiri.

5.      Penindasan terhadap pekerja swasta
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) umpamanya, berpendirian bahawa penetapan gaji para pekerja di sektor swasta berkait rapat dengan prestasi syarikat. Pastinya, bagi sesebuah syarikat korporat, produktiviti serta keuntungan syarikat merupakan aspek utama yang mempengaruhi kadar penetapan gaji kakitangan mereka. Jadi, walaupun pihak kerajaan meletakkan kemestian untuk pelaksanaan skim gaji minimum ini, namun bagi pihak swasta mereka mempunyai kuota dan syarat mereka tersendiri untuk membolehkan para pekerjanya mendapat kenaikan gaji. Bukankah ini akan hanya membunuh produktiviti para pekerja serta menurunkan minat pekerja untuk menyertai sektor swasta di negara ini. Sepertimana kenyataan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar baru-baru ini di dalam media, para majikan perlulah sensitif kepada para pekerjanya terutama sekali dengan mereka yang terlibat dengan pekerjaan yang berbahaya, kotor dan sukar. Perjuangan bagi merealisasikan dasar gaji minimum di negara ini adalah satu perjuangan yang besar dan panjang. Ia tidaklah hanya melibatkan pihak yang memberi dan menerima gaji semata-mata. Ia melibatkan pelbagai pihak.Ini termasuklah usaha meningkatkan kefahaman pimpinan kesatuan sekerja serta akar umbi mengenai kepentingan serta cabaran-cabaran dalam melaksanakan dasar gaji minimum.

6.      Berlakunya kekurangan peluang pekerjaan dan penularan jenayah
Pelaksanaan skim gaji minimum ini akan memberikan impak negatif ke atas sistem sosioekonomi. Dalam bab Enam Laporan Model Ekonomi Baru (MEB), dengan terang menyatakan bahawa MPEN tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan gaji minimum kerana boleh mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia. Pandangan MPEN ini tepat sekali. Hal ini dapat dilihat apabila kebimbangan para majikan  khususnya majikan kecil yang lebih merasai derita menanggung kos buruh yang kian meningkat atau caruman pekerja-pekerja lain yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Dengan ini, para majikan tidak akan mampu untuk menaikkan gaji pekerja mereka malahan terdapat segelintir majikan yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka kerana menghadapi masalah yang besar untuk beroperasi. Kemungkinan besar, pekerja terbabit berisiko tinggi untuk kehilangan pekerjaan. Kata-kata ini telah dipetik daripada Kementerian Sumber Manusia. Hal ini kerana penetapan gaji ini adalah berbeza kadarnya dari satu tahun ke satu tahun yang lain. Apabila rakyat mula kehilangan pekerjaan, kadar jenayah juga turut meningkat tanpa disedari akan mengugat keamanan negara dan merosakkan imej negara apabila terdapat rakyat yang menjadikan kaki lima bangunan sebagai tempat kediaman mereka.
7.      Ketidakadilan dalam sesebuah organisasi
Penetapan gaji minimum ini perlulah diimbangi dengan perkara-perkara yang berkaitan taraf hidup dan produktiviti seseorang. Dalam situasi biasa (sebelum pelaksanaan skim gaji minimum ini), kenaikan gaji dan pangkat seseorang berdasarkan produktiviti, ciri inovatif, kreativiti dan tanggungjawab seseorang tetapi sekiranya pelaksanaan skim gaji minimum ini dilaksanakan, rasanya tidak adil bagi pekerja yang baru memasuki bidang pekerjaan yang mendapat gaji lumayan setaraf dengan pekerja yang sudah lama bekerja dan berpengalaman dalam bidang yang diusahakan. Kesan seperti ini mungkin akan menurunkan motivasi kerja diantara pekerja yang telah lama berkhidmat kerana kenaikan gaji tidak diberikan mengikut kepakaran sebaliknya mengikut ketentuan undang-undang. Jadi untuk membolehkan gaji minimum ini terlaksana, biasanya golongan yang akan rugi ialah golongan pekerja yang berpendapatan rendah kerana mereka lebih mudah ditukar ganti berbanding golongan professional yang semestinya berpendapatan tinggi. Ini bermakna tenaga kerja lama yang dianggap professional berbanding pekerja baru akan dikekalkan. Jika kita lihat, pelaksanaan gaji minimum ini melibatkan semua pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh  negara kecuali perkhidmatan domestik, pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya. Jadi, golongan pegawai keselamatan, tukang sapu sampah, tukang kebun, buruh kasar, jurutol dan lain-lain sepatutnya berasa bimbang akan kedudukan mereka apabila cadangan gaji minimum ini berjaya dilaksanakan. Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib mengatakan bahawa jika langkah ini diteruskan, maka mungkin 300 syarikat keselamatan terpaksa gulung tikar kerana hal ini akan menyebabkan 60,000 orang pegawai keselamatan tempatan kehilangan pekerjaan. Inilah akibat yang tidak dijangka daripada tindakan memperkenalkan gaji minimum. Skim gaji ini hanya akan mencetuskan kezaliman terhadap golongan yang paling memerlukan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

8.      Kehilangan daya saing yang tinggi
Sekiranya gaji minimum ini dilaksanakan, negara kita akan hilang daya saingnya diantara syarikat-syarikat di dalam mahupun luar negara. Hal ini kerana negara kita tidak akan dapat menampung kos yang meningkat pada masa itu. Kesannya, kita dapat lihat, pelabur asing akan mengalihkan modal mereka ke negara-negara yang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah seperti di negara China dan Indonesia. Selain itu, ianya juga akan menggalakkan penggunaan lebih banyak mesin yang jauh lebih produktif sebagai alternatif kepada tenaga buruh yang semakin mahal.Sekiranya kita lihat pada keluk upah buruh, kita akan dapati apabila kerajaan meningkatkan gaji para pekerja secara tidak langsung majikan akan mengurangkan permintaan bilangan buruh. Jelaslah disini menunjukkan ketidakupayaan sesebuah syarikat untuk meneruskan operasi jika terdapat banyak pekerja yang perlu digajikan dalam satu masa dengan gaji yang tinggi. Hal ini sekaligus akan menyebabkan negara kehilangan daya saing kerana kekurangan kepakaran tenaga buruh sebaliknya hanya mengharapkan mesin penggerak sahaja. Negara hanya melaburkan modal untuk pembelian barangan susut nilai sahaja. Jadi hal ini telah mengurangkan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di dalam negara.


9.      Menggalakkan berlakunya Inflasi
Penetapan gaji minimum ini sememangnya dapat meningkatkan kuasa beli dan kadar belanjawan pekerja. Namun, secara umumnya sudah sedia maklum bahawa sebarang pertambahan kos pengeluaran yang berlaku maka harga pasaran bagi barangan itu juga akan turut meningkat. Hal ini secara tidak langsung akan menggalakkan inflasi. Hal ini demikian kerana kos pembuatan sesebuah barangan itu telah meningkat kerana menggunakan mesin yang canggih jadi sudah tentu kos ini akan diletakkan kepada pelanggan melalui pembelian sesebuah produk yang dijual dengan harga yang mahal. Hal ini akan menyebabkan semua orang terutamanya pengguna terpaksa menanggung kerugian. Situasi ini dipanggil sebagai Inflasi Tolakan kos yang terjadi apabila berlakunya peningkatan harga umum akibat daripada peningkatan kos pengeluaran yang berpunca daripada peningkatan keuntungan firma, peningkatan upah buruh dan peningkatan kos faktor pengeluaran lain.

~ i'Ll LoVeD u 4 a ThOuSaNd YeArS ~

No comments: