Tuesday 2 December 2014

Apa itu wakaf?

1.       



 Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Pada kali ini saya akan menerangkan tentang bentuk-bentuk wakaf yang diamalkan di Malaysia.

Wakaf ini berasal  dari perkataan arab ‘Al-Waqf’ yang bermaksud harta yang diwakafkan atau harta yang ditahan. Dari segi istilah pula bermaksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebaikan dan kepentingan agama dan umat islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf. Harta yang diwakafkan mestilah menjangkau satu tempoh yang lama agar pahala yang diperolehi berterusan sehingga hari akhirat.
Wakaf ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu

         i.            Wakaf Ahli (Wakaf Keluarga) iaitu wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang telah yang ditentukan oleh pewakaf.

       ii.            Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan) ini pula terbahagi kepada dua bentuk iaitu wakaf mutlak (am) dan wakaf muqayyad (khas).

a.       Wakaf Mutlak (Am) – Dari segi istilah bermaksud amalan penyerahan harta wakaf dengan tidak menyatakan sesuatu tujuan dalam perwakafan hartanya. Dari segi umum, sesuatu harta  wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat dan kebajikan umat islam tanpa menentukan mana-mana penerima dengan cara khusus mengikut hukum syarak. Misalnya, seseorang itu mewakafkan tanahnya di atas tujuan kebajikan dan tidak menentukan kepada siapa hasil tanah itu patut diberi. Harta ini boleh digunakan dan dibangunkan bagi apa-apa tujuan selagi tidak bertentangan dengan syarak.

b.      Wakaf Muqayyad (Khas) – Dari segi istilah bermaksud amalan mewakafkan harta dimana pewakaf menyatakan tujuan wakaf secara spesifik semasa mewakafkan hartanya dan terdapat penerima-penerima tertentu yang menerima harta itu. Dari segi umum, sesuatu harta wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu yang telah dikhususkan oleh pewakaf. Pemberi wakaf juga biasanya kan menetapkan siapa penerima wakaf dan bagaimana kegunaan harta wakaf ini diagihkan. Maka, harta wakaf tersebut hanya boleh digunakan hanya untuk tujuan yang dinyatakan sahaja. Misalnya, mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan masjid,surau atau perkuburan islam dan lain-lain.

Walaupun begitu, pemberi wakaf juga boleh membahagikan harta secara kombinasi iaitu wakaf am dan wakaf kombinasi dengan mensyaratkan peratusan tertentu untuk bahagian tertentu. Misalnya, pemberi wakaf boleh member peratusan yang tetap dari hasil tanah kepada ahli keluarganya (wakaf khas kerana bertujuan)  dan selebihnya kepada kebajikan (wakaf am kerana tiada tujuan tertentu).



2.       Perbezaan antara wakaf pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang.

Wakaf tunai ini merupakan wakaf dengan memberi  wang kepada nazir atau entiti pengurusan yang sah untuk dikumpulkan dan dijadikan modal bagi menukar dana kepada harta kekal atau membiayai aktiviti berkaitan wakaf.
Pembiayaan kewangan melalui wakaf tunai terbahagi kepada dua jenis iaitu Wakaf pembiayaan ekuiti (equity financing) dan wakaf pembiayaan hutang (debt financing).

Wakaf pembiayaan ekuiti (equity financing)

Sistem wakaf tunai yang melibatkan pembiayaan ekuiti ini dilakukan melalui pengeluaran syer atau saham yang mempunyai hak dalam menguruskan projek dan berkemungkinan memberikan hasil melalui bentuk syer dan saham juga. Sistem wakaf tunai sebegini  yang lebih menumpukan kepada pelaburan hartanah bakal ditransformasikan ke dalam bentuk dana ekuiti dan bon  bagi meraih pulangan yang lebih tinggi.

 Kaedah itu akan menggunakan wakaf  yang dikumpul, seterusnya dilaburkan sama ada ke dalam ekuiti dan bon. Tetapi usaha itu masih memerlukan perkhidmatan pengurus-pengurus dana yang berkualiti bagi memantau pelaburan ke atas aset yang berisiko tinggi. Kaedah wakaf melalui pembiayaan ekuiti ini dilihat sebagai satu cara terbaik bagi membolehkan semua pihak berupaya untuk menyumbang termasuk sama ada secara tunai, peruntukan saham atau  bon, berbanding sumbangan dalam bentuk harta kekal seperti hartanah.

Aset yang boleh didagangkan seperti tunai, saham dan bon oleh golongan perseorangan atau korporat ini dapat menjanjikan pulangan yang lebih tinggi melalui pengurusan portfolio yang baik. Namun begitu wakaf tunai sebegini juga mempunyai risiko yang berupaya menyebabkan kerugian yang tinggi.

Pengembangan harta melalui pelaburan wakaf harta ini tidak disasarkan kepada perolehan keuntungan semata-mata bagi para pemodal tetapi lebih disasarkan kepada unsur kebaikan dan kerjasama.

Wakaf pembiayaan hutang

Pembiayaan hutang ini merupakan pembiayaan yang berdasarkan faedah ataupun interest dan merupakan kontrak pertukaran yang melibatkan pembayaran bertangguh. Konsep pembiayaan hutang seperti al-bay’ bi thaman ajil (jualan dengan harga tangguh), bay’ al-Murabahah (jualan dengan tambahan untung), bay’al-ijarah (sewaan), bay’ al-dayn (dagangan hutang), bay’ al-inah, Qard al-Hassan (pinjaman kebajikan) dan sebagainya.

Wakaf jenis ini dilakukan untuk menukarkan wakaf dalam bentuk wang ke dalam bentuk harta seperti membangunkan estet, kawasan perumahan dan kawasan pertanian dan menyewakannya kepada masyarakat. Penyewaan harta wakaf ini dapat mendatangkan keuntungan dan hasilnya dapat digunakan untuk membiayai pemeliharaan harta wakaf tersebut atau disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Misalnya, Bagi mengembangkan harta wakaf ini, nazir akan membangunkan bangunan di atas tanah untuk disewakan walaupun pewakaf tidak memberikan sebarang syarat  mengenai harta yang diwakafkan.


 Penyewa dapat membayar hutang secara berkala kepada nazir. Hasil penyewaan itu dianggap sebagai modal dan juga keuntungan yang akan terus diwakafkan menjadi harta wakaf yang berkembang untuk kegunaan keperluan lain yang bermanfaat kepada masyarakat. Hasil ini akan digunakan untuk pembelian benda-benda yang bermanfaat yang boleh digunakan dalam jangka masa yang lama atau dilaburkan bagi tujuan saham atau bisnes sehingga nilai harta wakaf tersebut tetap terpelihara.

~ i'Ll LoVeD u 4 a ThOuSaNd YeArS ~

No comments: